Bismillahhirrahmanirrahim.

Alhamdulilah sekalian pujian dan syukur kepada Allah S.W.T., Tuhan Pencipta Alam, yang menjadikan manusia saling bergantungan dalam meneruskan kehidupan.

Peranan Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi (PPPI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ialah memperkasakan aktiviti penyelidikan ke arah melahirkan para cendiakawan yang tersohor dan penyelidikan yang berkualiti dan berimpak tinggi. Ia juga bertujuan memupuk kesedaran dan penglibatan kakitangan akademik USIM di dalam bidang penyelidikan yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI) sentiasa menghargai komitmen dan usaha setiap penyelidik di USIM dalam meningkatkan produktiviti, kuantiti dan kualiti hasil penyelidikan. PPPI sentiasa berusaha kearah membudayakan kecemerlangan menyeluruh dalam semua aspek serta penyampaian perkhidmatan dari sudut penyelidikan dan inovasi di USIM. Kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan PPPI semakin hari semakin tinggi dan ini sudah tentunya memerlukan kita membuat pembaharuan yang berterusan supaya kita sentiasa responsif, relevan, cekap, cepat dan berkesan dalam memenuhi permintaan dan harapan pelanggan.

Dengan kewujudan PPPI di USIM ini, ia akan dapat menjana jalinan kolaborasi yang kuat dengan semua fakulti dan pusat tanggungjawab bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dan inovasi. Saya berharap budaya penyelidikan dan inovasi seumpama ini dapat diaplikasikan dalam kalangan semua penyelidik di USIM selari dengan ilmu Naqli dan Aqli bertepatan dengan falsafah USIM dalam membentuk generasi cemerlang dan masyarakat berilmu.

Akhir kata, saya menyeru kepada semua yang terlibat dalam penyelidikan dan inovasi supaya dapat bersedia dan memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan dalam menghadapi cabaran masa kini terutamanya dalam menghadapi pandemik, kemajuan teknologi, sosio-ekonomik dan budaya. Dengan itu, USIM akan mampu mencapai misinya menjadi sebuah Universiti Sains Islam Glokal Berimpak Tinggi menjelang tahun 2022.

Syukran Jazilan.

YBrs. Prof. Madya. Dr. Nurlida Binti Basir
Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi (PPPI)
Universiti Sains Islam Malaysia