Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi anjur Majlis Penghargaan USIM Top 100 Researchers (2013-2017)

NILAI, 14 Mei 2018 – Majlis Penghargaan USIM Top 100 Researchers (2013-2017) dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI) adalah bagi meraikan peranan dan pencapaian cemerlang yang dipamerkan oleh para penyelidik USIM dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Bertempat di Dewan Serbaguna, Kolej Permata Insan majlis penghargaan ini sebagai pemangkin kepada para penyelidik USIM untuk terus mencapai kecemerlangan di masa akan datang bagi memperkasakan pembudayaan penyelidikan dan inovasi di universiti.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBhg. Prof. Dato’ Dr Roshada Hashim dalam ucapannya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah “USIM Top 100 Researchers 2013-2017” di atas kecemerlangan yang telah ditunjukkan dalam bidang penyelidikan masing-masing.

”Pencapaian dalam penyelidikan yang ada sekarang merupakan asas yang kukuh untuk kita terus bergerak kehadapan dengan lebih cepat ke arah mencapai matlamat menjadi sebuah universiti yang lebih berfokus dan berkualiti dalam menghasilkan karya penyelidikan,” ucapnya.

”Kejayaan yang lebih cemerlang boleh dicapai sekiranya para penyelidik mengekalkan iltizam untuk mencapai sasaran seperti yang telah digariskan dalam pelan strategik universiti. Dengan kekuatan dan bilangan pensyarah sedia ada, disokong oleh prasarana penyelidikan, kita mampu untuk bersama-sama meningkatkan kecemerlangan penyelidikan di USIM,” tambahnya lagi.

Dr. Khatijah Othman, Timbalan Pengarah PPPI, selaku wakil penganjur melihat bahawa program seperti ini sangat penting untuk diadakan kerana ianya menjadi tanda aras kejayaan seseorang ahli akademik itu terhadap kerja-kerja penyelidikan dan inovasi yang telah dijalankan selama mereka berkecimpung di dalam dunia akademik.

Katanya lagi, ianya adalah satu pengiktirafan terhadap pemikiran intelektual dalam melahirkan idea-idea dan masa yang digunakan bagi melahirkan karya akademik dalam bentuk penulisan dan inovasi yang mana ianya memberikan satu impak yang besar dalam pencapaian keseluruhan prestasi universiti.

”Diharapkan dengan adanya majlis yang sebegini, ahli akademik akan lebih bersungguh-sungguh lagi berusaha untuk meningkatkan prestasi mereka dalam bidang penyelidikan dan inovasi, semoga dengan itu, ianya bukan sahaja dapat membuahkan kejayaan kepada individu tersebut sahaja, bahkan ianya akan melonjakkan kejayaan secara keseluruhan kepada universiti, iaitu USIM sebagai sebuah institusi pengajian Islam yang dihormati dan dikenali di peringkat serantau,” ujarnya lagi.

Dalam memberi pengiktirafan kepada pencapaian penyelidik di USIM, di peringkat awal pihak PPPI telah menyenaraikan USIM Top 100 Researchers yang terdiri daripada para penyelidik yang cemerlang dalam bidang penyelidikan dan inovasi. Kriteria pemilihan adalah berdasarkan kepada pencapaian lima tahun terkini penyelidikan dari tahun 2013 sehingga 2017. Selain itu, pemilihan tersebut juga berdasarkan kepada prestasi penyelidikan dan inovasi kakitangan akademik dengan mengambil kira maklumat daripada penyelidik utama aktif, penerbitan buku, jurnal dan inovasi.

Disediakan oleh:
Norhaida Abd Shukor
Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi
                                    Aras 4,Bangunan Canselori,Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
                            Tel: +606-798 6647/6648/6649/78604, Faks: +606-798 8146, Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
                                                                            Login Webmaster Tarikh Kemaskini: 10 Januari 2017