IBTIKAR USIM | DISEMBER 2018
NILAI – 14 Mei 2018: Majlis Penghargaan USIM Top 100 Researchers telah diadakan bertempat di Dewan Serbaguna, Kolej Permata Insan yang dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, USIM. Objektif program ini adalah untuk memberikan penghargaan kepada USIM Top 100 Researchers yang cemerlang dalam bidang penyelidikan dan inovasi. Matlamat penganjuran program adalah untuk menjadikan satu landasan kepada USIM Top 100 Researchers yang telah mencapai kejayaan dalam bidang penyelidikan dan inovasi untuk terus mencapai kecemerlangan di masa akan datang serta memperkasakan pembudayaan penyelidikan dan inovasi di universiti. Di samping itu juga, program seumpama ini bertujuan sebagai inisiatif untuk mengiktiraf pencapaian penyelidik di USIM. Pihak PPPI telah menyenaraikan USIM Top 100 Researchers yang terdiri daripada para penyelidik yang cemerlang dalam bidang penyelidikan dan inovasi. Kriteria pemilihan adalah berdasarkan kepada pencapaian lima tahun terkini penyelidikan dari tahun 2013 sehingga 2017. Pemilihan ini adalah berdasarkan kepada prestasi penyelidikan dan inovasi kakitangan akademik dengan mengambil kira maklumat daripada penyelidik utama aktif, penerbitan buku, jurnal dan inovasi. ”Sebagai penganjur, kita melihat bahawa program seperti ini sangat penting untuk diadakan kerana ianya adalah menjadi sebagai tanda aras kejayaan seseorang ahli akademik itu terhadap kerja-kerja penyelidikan dan inovasi yang telah dijalankan selama mereka berkecimpung di dalam dunia akademik. Selain itu, ia juga merupakan satu pengiktirafan terhadap pemikiran intelektual dalam melahirkan idea-idea dan masa yang digunakan bagi melahirkan karya akademik dalam bentuk penulisan dan inovasi yang mana ianya memberikan satu impak yang besar dalam pencapaian keseluruhan prestasi universiti,” ujar Dr. Khatijah Othman, Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi USIM. Menurut beliau lagi, dengan adanya majlis sebegini dapat membuatkan ahli akademik akan lebih bersungguh-sungguh dalam usaha untuk meningkatkan prestasi mereka dalam bidang penyelidikan dan inovasi. Harapan beliau program seumpama ini bukan sahaja dapat membuahkan kejayaan kepada individu tersebut, bahkan ianya akan melonjakkan kejayaan secara keseluruhan kepada USIM sebagai sebuah institusi pengajian Islam yang dihormati dan dikenali di peringkat serantau. Oleh yang demikian, pencapaian dalam penyelidikan yang ada pada masa ini menjadi asas yang kukuh untuk ahli akademik terus melangkah ke hadapan dengan lebih cepat dalam mencapai matlamat ke arah sebuah universiti yang lebih berfokus dan berkualiti dalam menghasilkan karya penyelidikan. Kejayaan yang lebih cemerlang boleh dicapai sekiranya, para penyelidik mengekalkan iltizam untuk mencapai sasaran seperti yang telah digariskan dalam pelan strategik universiti. MAJLIS PENGHARGAAN: USIM TOP 100 RESEARCHERS (2013-2017) BERITA 34 IBTIKAR
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=