KUALA LUMPUR– Empat penyertaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam 29th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 18) bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre pada 10 hingga 12 Mei lalu tidak menghampakan apabila berjaya membawa pulang 2 emas dan 2 gangsa.

Kumpulan Global Faraid Game yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Azman Ab Rahman dan kumpulan Triple Eye Lid: Edible Garden Passive Cooling and Air Filteration System in Suris yang diketuai oleh Ar. Fadli Arabi mendapat emas manakala kumpulan Bahasa Isyarat Islam (BII Ibadah) yang diketuai oleh Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad dan kumpulan Inovasi Gamifikasi Global Arabic Game Dalam Pengajaran dan Pembelajaran yang diketuai oleh Dr. Nurkhamimi Zainuddin mendapat gangsa.

“Kejayaan keempat-empat produk tersebut membuktikan hasil produk penyelidikan dan inovasi kumpulan penyelidik Usim masih relevan untuk dikomersialkan. Pencapaian dalam inovasi yang ada sekarang merupakan asas yang kukuh untuk kita terus bergerak ke hadapan dengan lebih cepat ke arah mencapai matlamat menjadi sebuah universiti yang lebih berfokus dan berkualiti dalam menghasilkan produk pengkomersialan. Tambahan, kejayaan penyelidik di dalam pameran antarabangsa seumpama ini turut menjadi nilai tambah kepada pemarkahan MyRA,” ucap satu kenyataan.

Global Faraid Game’ ini membantu dan memudahkan masyarakat mempelajari ilmu faraid dengan konsep gamifikasi dan didik hibur yang lebih interaktif lagi efisien. Manakala ’Triple Eye Lid: Edible Garden Passive Cooling and Air Filteration System in Suris’ melibatkan tanaman tumbuhan hijau melalui sensor cahaya solar untuk mengurangkan suhu dan mengawal pencemaran udara.

Bagi ’BII Ibadah’, ia merupakan produk untuk memenuhi keperluan ibadah kepada komuniti pekak Muslim disebabkan terminologi Ibadah dalam BII yang terhad dan terdapat daripadanya kekeliruan isyarat dan makna serta tidak sesuai dengan konteks budaya orang pekak di Malaysia. Tidak ketinggalan, ’Gamifikasi Global Arabic Game Dalam Pengajaran dan Pembelajaran’ pula mengetengahkan kaedah gamifikasi sebagai salah satu kaedah meningkatkan penguasaan pelajar untuk memahami setiap subjek Bahasa Arab yang dipelajari.

ITEX 2018 merupakan anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) dan disertai oleh pelbagai universiti, badan-badan korporat serta individu dari pelbagai negara ASEAN dan Asia.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (Stracoom)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)