Pasukan penyelidik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai telah berjaya mengharumkan nama Malaysia diperingkat antarabangsa apabila mereka telah berjaya memenangi 2 pingat emas dalam 3rd World Invention Innovation Contest (WiC 2017) yang diadakan di Seoul, Korea pada 3 dan 4 Jun yang lalu.

Pasukan penyelidik ini terdiri daripada Prof. Dr. Rozhan M. Idrus, Dr Najwa Hayaati Mohd Alwi, En. Mohamad Faiz Taip dan Pn. Nurhuda Ruzlan. Pasukan penyelidik adalah pensyarah daripada Fakulti Sains & Teknologi (FST) dan Pegawai dari Pusat Pembelajaran Akses Terbuka Global – Teknologi Imersif dan Jaminan Kualiti (GOAL-ITQAN).

Dalam pertandingan ini, USIM telah mempertaruhkan 2 ciptaan bertajuk Resource Architecture in The Virtual Digital Learning Landscape (RAVD) dan Self Instructional Module Template (SIMPLE) yang telah berjaya memikat hati juri seterusnya melayakkan mereka menerima pingat emas dan anugerah khas dari penganjur Korea Invention News (KINEWS) bagi ciptaan tersebut .

Prof. Dr. Rozhan M. Idrus dari Fakulti Sains & Teknologi memperkenalkan Resource Architecture in The Virtual Digital Learning Landscape (RAVD) yang mampu membantu pembelajaran dan pengajaran secara global. Senibina yang direka bentuk ini untuk membantu pengguna meletakkan tagging bahan kandungan digital dan menyediakan enjin carian kandungan kepada pengguna dengan kerjasama dari National Institute of Informatics (NII), Jepun.

Pensyarah dari Fakulti Sains & Teknologi, Dr Najwa Hayaati Mohd Alwi memperkenalkan produk Self Instructional Module Template (SIMPLE) yang bersifat sangat mesra pengguna yang memberi kemudahan pensyarah menyusun bahan pengajaran dan pembelajaran di Learning Management System GOALS.

“Tahniah diucapkan kepada semua pemenang yang berani mengetengahkan inovasi masing-masing. Diharap pengalaman ini akan menjadi satu inisatif berterusan dalam menginovasikan ekosistem pembelajaran dan pengajaran di USIM,” ujar Timbalan Pengarah GOAL-ITQAN, Dr. Najwa Hayaati selaku ketua delegasi USIM ke WiC2017, Seoul Korea Selatan.

WIC 2017 berlangsung selama 2 hari bermula 3 hingga 4 Jun 2017 bertempat di Chungmu Art Hall, Seoul, Korea Selatan menghimpunkan penyelidik unversiti, pusat penyelidikan dalam dan luar negara, sekolah rendah dan sekolah menengah serta sektor swasta dari 22 negara antaranya Amerika Syarikat, China, Korea, Hong Kong, Indonesia, Iran, Thailand dan Filipina.