Seremban, 22 Mei 2026 – Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan sesi lawatan tapak bagi Geran Penyelidikan Program Padanan Industri (Industry Matching Programme – IMaP) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn. Bhd., Seremban, Negeri Sembilan.

Lawatan tersebut melibatkan projek penyelidikan yang diketuai oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Norhayati Rafida Abdul Rahim dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan bertajuk “Leveraging AI for Just-In-Time Decision Making: Enhancing Halal Monitoring Efficiency at Rangkaian Hotel Seri Malaysia”.

Sesi lawatan ini bertujuan menilai kemajuan pelaksanaan projek penyelidikan serta memastikan hasil dan produk penyelidikan yang dibangunkan dapat digunapakai oleh pihak industri selaras dengan objektif Program Padanan Industri (IMaP) KPT.  Turut hadir dalam sesi lawatan tersebut ialah Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif selaku Ketua Panel KPT, Lt. Kol. Prof. Dr. Victor Feizal b Knight Victor Panel KPT dan Prof. Ir. Dr. Hafizal Mohamad, Pengarah PPPI USIM.

Program ini mencerminkan komitmen USIM dalam memperkukuhkan penyelidikan berasaskan kolaborasi industri serta meningkatkan pemindahan ilmu dan teknologi kepada pihak industri melalui penghasilan penyelidikan yang memberi impak dan manfaat secara langsung.

PPPI USIM berharap inisiatif seperti ini dapat terus memperkasakan ekosistem penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan hasil penyelidikan universiti demi memenuhi keperluan industri dan negara.