GOMBAK, 15 Ogos 2025 – Delegasi Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI) USIM yang diketuai oleh YBrs. Prof. Ir. Dr. Hafizal Mohamad, Pengarah PPPI telah mengadakan lawatan penanda aras ke Research Management Center (RMC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM). Lawatan yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang pengurusan penyelidikan dan inovasi.
Lawatan ini disambut baik oleh pihak RMC IIUM yang diketuai oleh YBrs. Prof. Ts. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Ismail, Director RMC bersama dengan barisan pengurusan RMC IIUM. Antara pengisian utama pertemuan ini termasuklah perbincangan mengenai strategi pengurusan penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan Festival of Ideas di IIUM, pengurusan geran penyelidikan, skim penerbitan jurnal serta aspek inovasi dan harta intelek. Pertemuan mesra ini bukan sahaja membuka peluang kepada pertukaran pandangan dan pengalaman, malah turut memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi dalam usaha mempertingkatkan kecemerlangan penyelidikan.
Pihak PPPI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada RMC IIUM atas sambutan yang diberikan serta berharap agar kolaborasi bersama dapat dilaksanakan pada masa akan datang demi memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi di kedua-dua universiti.