NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Rakyat Management Services Sdn Bhd (RMS), anak Syarikat kepada Bank Rakyat telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) untuk projek penyelidikan bertajuk Gold Authentication System pada 10 Januari 2025 baru-baru ini.
Kerjasama ini bertujuan memperkukuhkan usaha pembangunan sistem autentikasi ketulenan emas melalui gabungan kepakaran penyelidik USIM dan RMS. Projek ini dijangka menghasilkan prototaip inovatif yang berpotensi untuk dikomersialkan, sejajar dengan keperluan industri semasa.
Ketua penyelidik USIM diketuai oleh Prof Madya Ir Ts Dr Juliza Binti Jamaludin bersama ahlinya Prof. Ir. Dr. Hafizal Mohamad, Prof. Madya. Ts. Dr. Wan Zakiah Wan Ismail, Ts. Dr. Irneza Ismail, Dr. Fauzun Abdullah Asuhaimi dan Dr. Marinah Othman. Manakala Ketua penyelidik RMS diketuai oleh Encik Fuhaizad Asmar Omar bersama ahlinya Encik Khalis Raddi Ibrahim dan Tengku Muhd Kamil Tengku Abd Hafiz Pikry.
Projek penyelidikan ini tidak hanya fokus kepada pembangunan teknologi, tetapi juga membuka ruang kepada pertukaran ilmu antara akademia dan industri. Dengan menggunakan dana geran yang disumbangkan oleh RMS, penyelidik dari FKAB USIM akan menumpukan usaha kepada pembangunan sistem pemeriksaan ketulenan emas yang mampu memberi impak besar dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.
Menurut Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, “Kerjasama ini mencerminkan komitmen universiti dalam menerapkan penyelidikan yang bersifat industri untuk manfaat masyarakat.” Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada RMS atas kepercayaan dan sokongan mereka terhadap penyelidikan USIM.
Beliau menegaskan kepentingan hubungan pintar antara universiti dan industri, khususnya dalam penyelidikan sistem ketulenan emas, pembangunan prototaip, dan pengkomersialan hasil penyelidikan. Naib Canselor turut menyatakan keyakinan bahawa kolaborasi ini akan mengukuhkan budaya penyelidikan bersama serta memberikan manfaat kepada ahli akademik dan pemain industri.
Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin berharap MoA ini menjadi pemangkin kepada inovasi berfokus untuk kesejahteraan ummah. Kerjasama ini diharap mampu menghasilkan output penyelidikan yang lebih berkualiti melalui perkongsian kepakaran antara USIM dan RMS.“Semoga usaha ini menjadi titik tolak kepada kejayaan lebih besar di masa hadapan,” ujar beliau lagi.
Dalam majlis tersebut, turut menyaksikan penyampaian geran penyelidikan bernilai RM118,650.00 yang diserahkan oleh Pengerusi RMS, Tuan Hj. Mohd Jafri Kudus kepada Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.
Turut hadir ialah Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi USIM, Prof. Ir. Dr. Mohamad Hafizal Mohamad, serta Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Prof. Madya Dr. Nurul Syala Abdul Latip.
Majlis ini berlangsung di Executive Lounge, Aras 6, Bangunan Canselori, USIM, dengan dihadiri oleh pihak pengurusan tertinggi kedua-dua organisasi.